Kamera badan: Perkasa integriti, ketelusan anggota ketika berurusan - Acryl Sani

Bernama
Disember 14, 2022 09:35 MYT
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM akan memanfaatkan sebaik mungkin penggunaan kamera badan itu dalam usaha memastikan kualiti perkhidmatan PDRM yang terbaik kepada masyarakat. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin penggunaan kamera badan akan memperkasakan tahap integriti, profesionalisme dan ketelusan anggota ketika berurusan, selain melindungi kepentingan semua pihak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM akan memanfaatkan sebaik mungkin penggunaan kamera badan itu dalam usaha memastikan kualiti perkhidmatan PDRM yang terbaik kepada masyarakat.
"PDRM menyambut baik langkah kerajaan menyegerakan perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) bagi tujuan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota PDRM ketika menjalankan tugas. - BERNAMA
#PDRM #Acryl Sani Abdullah Sani #kamera badan #integriti