“TERIMA kasih singgah stesen Petronas, tapi jangan guna telefon berdekatan pam minyak.”

Itu teguran syarikat pengeluar minyak nasional Petronas kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pasukannya yang bergambar di sebuah stesen jenama itu hari ini.

Dalam satu foto yang dikongsikan akaun Twitter @teamsaddiq, kelihatan Menteri Belia dan Sukan itu sedang mengisi minyak kereta di salah sebuah stesen Petronas dalam perjalanannya ke Cameron Highlands.

Menerusi foto yang dikongsikan itu, kelihatan Ahli Parlimen Muar itu sedang berdiri mengisi minyak kereta miliknya dengan coretan, "menteri memandu sendiri boleh ‘claim’ minyak tak? Menuju ke Cameron Highlands sebagai Ketua Pemuda Harapan tanpa jentera kerajaan."

Susulan tindakan itu, Petronas Brands membalas tweet itu dengan kiriman nasihat.

Memetik laporan Sinar Harian, teguran Petronas Brands itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan teguran berkenaan dan menyifatkannya sebagai mengundang bahaya.

Malah, ada segelintir netizen yang turut memuat naik gambar papan tanda larangan penggunaan telefon sebagai respons terhadap teguran Petronas Brands itu.

“Terima kasih singgah stesen Petronas. Walau bagaimanapun, keselamatan tetap diutamakan.

“Jangan guna telefon berdekatan pam minyak ya. Terima kasih juga kepada semua yang sangat prihatin,” tulis pengendali Twitter Petronas tersebut.

Setelah foto dan nasihat itu tular, @teamsaddiq membalas tweet nasihat daripada syarikat pengeluar minyak nasional itu dengan memaklumkan gambar tersebut dirakam menggunakan kamera bukannya telefon bimbit seperti dianggap.

“Minta maaf admin (Petronas Brands). Kami ambil gambar guna kamera hihi,” balasnya.