Kami malu nak pertahankan kereta terbang - Perwakilan Amanah

Irwan Muhammad Zain, Hasimi Muhamad
Disember 7, 2019 06:42 MYT
MOHD FADZIL: Pimpinan bawah malu muka nak pertahankan kereta terbang, antara program paling tak guna dilakukan kerajaan, malu muka kita nak pertahankan kerajaan. - Foto Astro AWANI/Irwan Muhammad Zain
Projek kereta terbang diaggap sebagai satu projek paling tidak guna dan memalukan.
Perkara itu dibangkitkan oleh perwakilan Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Konvensyen Nasional Amanah 2019.
“Pimpinan bawah malu muka nak pertahankan kereta terbang, antara program paling tak guna dilakukan kerajaan, malu muka kita nak pertahankan kerajaan,” katanya disambut sorakan perwakilan.
Selain itu Mohd Fadzil menyentuh isu yang turut membangkit kemarahan rakyat terhadap kerajaan program subsidi petrol.
“Pelaksanaan program subsidi petrol menimbulkan kemarahan rakyat kerana rakyat bakal berdepan dengan kenaikan harga petrol sebanyak satu sen setiap minggu hingga capai harga pasaran.
“Saya minta apabila kita berdepan kemarahan rakyat, tolong tangguh sementara.
“Kerajaan juga gagal beroperasi di akar umbi, kita tidak rasai kebersamaan dengan kerajaan,” katanya lagi.
Mohd Fadzli turut menegaskan bahawa rakyat juga sudah muak dengan percaturan politik dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri sehingga mencetuskan pertelagahan sesama sendiri.
Amanah kata Mohd Fadzli, perlu terus menasihati rakan komponen bagi mengurangkan ketegangan parti masing-masing termasuk dalam krisis kepemimpinan PKR ketika ini.
#Konvensyen Nasional Amanah #Mohd Fadzli Mohd Ramly #perwakilan Amanah Pahang #projek kereta terbang #tak guna dan memalukan