Skip to main content

Malaysia

Kamil tempelak KJ, rasuah lebih bahaya daripada isu kaum

PADANG RENGAS, 30 Mei -- Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, bercakap ketika ditemu bual sempena Majlis Pelancaran Sukan Belia (SUKBEL) dan Perasmian Karnival Belia MADANI di SMK Tun Perak, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kamil menyifatkan dakwaan bahawa kepentingan orang Melayu di Negeri Sembilan semakin terhakis di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai tidak berasas dan perlu disokong dengan fakta yang jelas. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Kamil Munim menyifatkan dakwaan bahawa kepentingan orang Melayu di Negeri Sembilan semakin terhakis di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai tidak berasas dan perlu disokong dengan fakta yang jelas.

Beliau berkata, dakwaan sedemikian tidak seharusnya dibuat tanpa bukti kerana ia boleh mengelirukan rakyat serta mencetuskan kebimbangan yang tidak perlu.

Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mempersoalkan kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang mendakwa hanya UMNO mampu mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu-Islam di negeri itu.

Menurutnya, beliau menjangkakan kemunculan semula Khairy dalam arena politik akan membawa pendekatan yang lebih matang dengan menilai sesebuah pentadbiran berdasarkan prestasi dan pencapaian, bukannya memainkan sentimen kaum.

“Saya ingin bertanya kepada saudara Khairy, hak Melayu yang manakah telah terhakis dan tergugat di bawah kepimpinan Tok Min sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jelas Kamil , hak orang Melayu di negara ini tidak bergantung kepada mana-mana parti politik, sebaliknya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan serta institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut berpandangan bahawa ancaman sebenar terhadap masa depan orang Melayu bukan berpunca daripada perubahan politik, tetapi daripada amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kegagalan memegang amanah.

“Hak Melayu yang akan terancam ialah Melayu korup, Melayu kaki projek dan sudah tentu Melayu UMNO. Bukan Melayu kebanyakan. Bukan juga Melayu Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut mendakwa isu integriti dan tadbir urus yang lemah jauh lebih besar kesannya kepada negara berbanding memainkan naratif yang berasaskan perkauman.

Katanya, skandal seperti 1MDB seharusnya dijadikan pengajaran bahawa kepimpinan yang berintegriti lebih penting dalam menentukan masa depan negara.

Kenyataan beliau dibuat sebagai reaksi terhadap ucapan Khairy pada pelancaran Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Seremban, yang menggesa pengundi Melayu-Islam kembali menyokong Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Dalam ucapannya, Khairy mendakwa hanya UMNO mampu memastikan suara orang Melayu terus dipertahankan di Negeri Sembilan, selain menyifatkan Aminuddin tidak mempunyai kuasa politik yang mencukupi kerana kerajaan negeri didominasi wakil daripada DAP dalam gabungan Pakatan Harapan.

Khairy juga berhujah bahawa kehadiran lebih ramai wakil rakyat UMNO dalam Dewan Undangan Negeri sebelum ini membolehkan kepentingan masyarakat Melayu diperjuangkan dengan lebih berkesan, sekali gus menyeru pengundi memberi semula mandat kepada Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Must Watch Video

Advertisement