Dewan di aras dua resort penginapan di tebing Sungai Perak di Kuala Kangsar itu pada pagi Sabtu lalu tidak penuh, hanya setengah ruang saja diisi oleh hadirin. Pada pagi itu, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar bertemu dengan para penyokongnya serta sukarelawan yang akan menggerakkan kempen beliau sehingga hari akhir kempen pada Sabtu ini.
Dewan itu dianggarkan boleh muat sehingga 200 orang tetapi jumlah mereka yang datang — setelah ditolak wartawan dan blogger, dan ditolak lagi ahli keluarga dan saudara mara Kamilia — adalah lebih kurang 40 orang. Kerusi-kerusi yang disusun sampai ke belakang tinggal kosong.
Ada di antara mereka yang datang untuk menawarkan khidmat jadi pekerja kempen; ada juga yang datang kerana hendak mendengar sendiri cerita daripada mulut Kamilia dan selebihnya, ada yang datang kerana bersimpati dengan perjalanan politik bekas Naib Ketua Wanita UMNO itu. Antara mereka yang datang itu, ada juga ahli Wanita UMNO Kuala Kangsar.
"Terima kasih kerana datang. Saya nampak yang ramai ini saudara mara yang menyokong perjuangan mak," kata anak sulung, Kamilia, Amirul Iskandar yang pagi itu jadi juruacara majlis.
Sejak mengemukakan pencalonannya pada 20 April lalu, Kamilia bergerak secara kecil-kecilan ke serata Kuala Kangsar dengan dibantu terutama oleh anak-anaknya. Dia masuk ke Manong sampai ke Senggang, Ulu Piol dan Bekor; balik ke pekan, masuk ke Lembah Sayong dan Bendang Kering, patah balik naik ke Bukit Residen sampai ke Bukit Chandan.
"Ini semua anak-anak saya yang buat dan beri idea," katanya menunjukkan kepada kain rentang, poster dan pamflet kempennya yang sedia untuk diagih-agihkan selepas majlis itu. Seorang daripada anaknya memakai baju T hitam dengan slogan: "Masa untuk HIJRAH, buka BUKU baru". Kamilia bertanding menggunakan simbol buku dalam PRU-13 ini.
Di kalangan pemerhati dan penganalisa politik, mereka tahu dan akur bahawa Kamilia ada pengalaman yang luas dalam kempen pilihan raya. Dia pernah mengepalai jentera Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dalam banyak kempen pilihan raya kecil sepanjang penggal parlimen yang lepas. Kempen itu digerakkan dari rumah ke rumah, dan itulah yang dilakukannya sekarang.
Tetapi kali ini, Kamilia jelas sekali nampak patah tangan dan kaki. Dia ada pengalaman tetapi tidak ada kumpulan pekerja yang ramai untuk meliputi seluruh kawasan mengundi.
Wajahnya pada pagi itu nampak lelah dan selebihnya agak resah. Tetapi daripada nada suara dan pemilihan kata-katanya, wanita berumur 58 tahun ini tidak luntur semangat dan keyakinannya.
"Percaya dan yakinlah, kebenaran akan memberikan kejayaan," katanya.
Kamilia memulakan kempennya secara rasmi pada Jumaat lepas — enam hari selepas penamaan calon — dengan solat Subuh di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan. Dia kemudian bertemu dengan ahli qariah masjid itu untuk menjelaskan sebab musabab kenapa dia melanggar kehendak parti dan apa yang mahu dia perjuangkan.
Beberapa jam kemudian, secara kebetulan ribuan warga Kuala Kangsar menyambut kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang singgah di bandar diraja ini dalam siri jelajah kempen pilihan raya. Dalam ucapannya, Najib menegaskan bahawa sokongan ahli dan penyokong BN terhadap parti itu tidak sedikit pun terjejas dengan tindakan pemimpin parti yang bertanding sebagai calon bebas.
"Siapa yang tinggalkan parti, rakyat akan tinggalkan dia kerana kepentingan parti lebih besar dan penting daripada kepentingan peribadi," kata Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
Najib mengimbau sejarah politik UMNO dan negara — tentang bagaimana pengasas UMNO sendiri iaitu Datuk Onn Jaafar hilang sokongan rakyat selepas meninggalkan parti itu untuk membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan kemudiannya Parti Negara. Selepas keluar UMNO, kerjaya politik Datuk Onn malap dan kemudian padam biarpun ideanya tentang memecahkan politik perkauman yang ditolak oleh UMNO pada ketika itu dan menyebabkan beliau keluar parti kekal relevan sehingga ke hari ini.
"Dalam setiap pertubuhan termasuk parti politik, ada sempadan atau perimeter tertentu yang mesti dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Sesiapa saja tidak akan terkecuali daripada tindakan sekiranya melampaui sempadan atau perimeter itu," kata Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, calon BN yang ditentang oleh Kamilia di Kuala Kangsar.
Wan Khair-il Anuar, 53, anak jati Kuala Kangsar. Dia lahir dan membesar di sini. Dia juga bersekolah di bandar diraja ini di SMK Clifford dan diasuh bahawa institusi lebih penting daripada mana-mana individu seperti slogan sekolah itu: "The ship is more than the crew".
Ketika UMNO berdepan krisis selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999, Wan Khair-il Anuar yang ketika itu jadi Timbalan Pengerusi Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ikut menyusun gerak kerja kempen menghadapi propaganda reformasi yang digerakkan dengan slogan "UMNO: Dulu, Kini dan Selamanya".
Oleh itu, beliau cukup memahami erti kesetiaan kepada UMNO dan perjuangan parti.
Bagi beliau, apabila Kamilia memajukan dirinya untuk bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan melanggar ketetapan parti, bekas Naib Ketua Wanita UMNO itu telah meletakkan kepentingan dirinya mengatasi kepentingan UMNO dan BN.
"Saya dan rakan-rakan mewakili BN untuk memastikan kerajaan BN ditubuhkan. Yang lain-lain, mereka hendak menubuhkan apa, kita tidak tahu?" katanya.
Tetapi bagi Kamilia, apa yang beliau lakukan itu adalah sebagai menegakkan prinsip — ia bukan untuk dirinya sendiri tetapi dia memajukan diri bertanding atas kedudukan jawatannya sebagai orang nombor dua dalam Wanita UMNO dan kedudukan pergerakan sayap itu sebagai tulang belakang parti. Dia juga menarik perhatian nasib sama yang dialami oleh beberapa pemimpin wanita BN yang lain. Katanya, dia memperjuangkan "apa yang hak, apa yang patut dan wajar."
"Ini sumbangan saya yang terakhir kepada Wanita UMNO dan Wanita BN agar selepas ini tidak berlaku lagi seperti ini wanita tidak diberi pengiktirafan," katanya.
Najib dan pemimpin UMNO Perak yang lain menegaskan bahawa Kamilia telah ditawarkan untuk bertanding kerusi DUN Bukit Chandan yang pada pilihan raya 2008 dimenangi oleh Wan Khair-il tetapi tawaran itu beliau tolak. Kamilia menafikan tawaran itu ada. Penafiannya itu bagaimanapun diselar oleh pemimpin UMNO negeri yang mendakwa tahu cerita sebenarnya.
"Biarlah Allah menjadi saksi," kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir seperti dipetik oleh laman web Agendadaily.
Kepada Zambry, apa yang berlaku ini ada hikmahnya. UMNO kini kenal siapa kawan dan siapa lawan; siapa pemimpin yang berbakti dan siapa pemimpin yang mengutamakan diri sendiri.
Di kalangan pemerhati politik, cerita Kamilia mahu bertanding kerusi Parlimen mencetuskan teori konspirasi tentang jawatan menteri kabinet sekiranya BN terus diberikan mandat oleh rakyat serta percaturan politik menjelang pemilihan UMNO yang dijadual akan berlangsung pada November nanti.
Tetapi persoalannya sekarang, selepas parti kononnya tidak memberikan pengiktirafan kepada Kamilia untuk bertanding, apakah pengundi Kuala Kangsar akan mengangkat beliau untuk mewakili mereka di Parlimen nanti? Itu yang lebih penting kerana pada akhirnya yang akan memilih adalah rakyat.
Kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 33,607 pengundi dengan 51.85 peratus daripadanya wanita; 30 peratus daripadanya pula berumur di bawah 40 tahun. Kamilia mengemukakan agendanya untuk memperjuangkan hak-hak wanita serta wakil suara dalam pembentukan dasar dan undang-undang.
Ada yang percaya bahawa Kamilia mungkin akan meraih undi simpati terutamanya daripada pengundi wanita. Ada juga yang mendakwa kononnya Kamilia ada pengikut lebih kurang 2,000 orang di kalangan ahli Wanita dan Puteri UMNO di Kuala Kangsar.
Calon Pas, Khalil Idham Lim yang berpindah dari kerusi DUN Titi Serong ke kawasan Parlimen ini melihat Kamilia sebagai satu cabaran kerana setidak-tidaknya undi akan pecah. Malah di kalangan petugas Pas mereka sedikit resah kerana kempen BN tidak begitu rancak — membayangkan keyakinan parti itu ia akan menang.
Kalau ditanyakan kepada jentera UMNO yang bergerak sejak kempen pilihan raya ini bermula mereka cukup yakin bahawa pencalonan Kamilia tidak ada kesan kerana "orang Kuala Kangsar tak layan kes merajuk". Selebihnya, Kamilia dikatakan hanya ada pengaruh di kalangan Wanita UMNO dan bukannya kepada ahli-ahli UMNO keseluruhannya di Kuala Kangsar.
Tetapi pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan pada Ahad ini apakah mereka akan mengundi kerana simpati atau memilih parti.
Noor Azam Shairi
Tue Apr 30 2013
Isu bayi 'disimpan' : Peguam minta tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman
Bapa kepada bayi lelaki yang mayatnya 'disimpan' di sebuah hospital swasta memberi masa sehingga 12 tengah malam Khamis kepada netizen yang memfitnah di media sosial supaya menarik balik kenyataan.
37 rakyat Palestin maut akibat bedilan udara Israel
Sekurang-kurangnya 37 warga Palestin terbunuh dalam siri serangan udara tentera Israel pada pagi Khamis, yang menyasarkan pengiring trak bantuan serta rumah-rumah yang menempatkan pelarian di seluruh Semenanjung Gaza. Menurut sumber perubatan, serangan udara di kawasan barat Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza meragut nyawa 15 rakyat Palestin, manakala 30 lagi dilaporkan cedera.
Seorang maut selepas pangsapuri mewah di Shenzhen terbakar
Kebakaran melibatkan sebuah pangsapuri mewah di tengah Shenzhen, Selatan China mengorbankan seorang individu. Asap tebal dilihat menyelubungi udara dan mencetuskan kegusaran orang ramai yang melihat kejadian itu berlaku.
Tentera Israel berundur dari Khiam, Marjayoun
Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Rabu mengesahkan tentera Israel berundur dari bandar di selatan Lubnan, sekali gus menjadi pengunduran pertama tentera rejim di bawah perjanjian genjatan senjata antara kedua negara.
Pembangkang usul pecat kedua terhadap Suk Yeol
Parti pembangkang Korea Selatan sekali lagi, mengemukakan usul untuk memecat Presiden Yoon Suk Yeol pada Khamis susulan kontroversi berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon sebelum ini. Ia selepas kegagalan usul pemecatan pertama yang tidak diluluskan di Parlimen negara itu sebelum ini.
Usul pemecatan itu ditandatangani oleh 190 Ahli Parlimen pembangkang dan seorang ahli parlimen Bebas, tanpa sokongan daripada mana-mana ahli parlimen parti pemerintah.
Parti pembangkang merancang untuk melaporkan usul itu kepada sidang pleno Parlimen pada Khamis dan mengadakan undian pada Jumaat atau Sabtu.
Usul pemecatan itu ditandatangani oleh 190 Ahli Parlimen pembangkang dan seorang ahli parlimen Bebas, tanpa sokongan daripada mana-mana ahli parlimen parti pemerintah.
Parti pembangkang merancang untuk melaporkan usul itu kepada sidang pleno Parlimen pada Khamis dan mengadakan undian pada Jumaat atau Sabtu.
Ratusan penunjuk perasaan bertembung dengan polis di Seoul
Ratusan penunjuk perasaan yang menuntut pemecatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol bertembung dengan polis pada Khamis ketika mereka cuba memasuki kediaman rasmi presiden itu di Seoul.
PM gesa institusi pendidikan manfaatkan pameran sejarah dunia Melayu-Islam
Perdana Menteri berkata gesaan ini turut ditujukan kepada Arkib Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Perpustakaan Negara Malaysia.
Majoriti rakyat Malaysia anggap layanan kerajaan pilih kasih
Majoriti rakyat Malaysia terutama kaum Melayu dan Cina melihat kerajaan tidak melayan semua pihak secara adil kerana wujud perbezaan kelas.
Menurut kajian Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia (Projek SAMA), responden India pula melihat ketidakadilan lebih kepada perbezaan etnik.
Menurut kajian Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia (Projek SAMA), responden India pula melihat ketidakadilan lebih kepada perbezaan etnik.
318 stesen pemancar telekomunikasi terkesan mula beroperasi - Fahmi
Sebanyak 318 stesen pemancar atau menara telekomunikasi di seluruh negara yang terkesan bencana banjir sejak November hingga Khamis, telah mula beroperasi semula.
PKR teliti alasan penghakiman untuk tindakan susulan
Bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan berbincang dengan peguam susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan pampasan yang perlu dibayar bekas Naib Presiden parti itu Datuk Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon.
Kamilia: Antara undi simpati dan undi untuk parti
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar jadi tumpuan selepas bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon bebas.
Kamilia jadi cabaran kepada Pas -- Idham Lim
Calon Pas, Dr Idham Lim diberi cabaran lebih besar dengan kemunculan bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding tiket bebas di Parlimen Kuala Kangsar.