IPOH: Daerah Kampar dan Batu Gajah kini dalam radar kerajaan Perak untuk menikmati liputan internet berkelajuan tinggi 5G selepas bandar raya Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi berkata inisiatif di bawah 'Greater Ipoh' itu akan dipantau sebuah jawatankuasa khas bagi memastikan pelaksanaan teknologi 5G di negeri ini berjalan lancar.

"Setakat ini liputan 5G merangkumi pusat bandar, Klebang, Bercham, Tambun, Canning Garden, Ipoh Garden, Meru, Ampang, Gunung Rapat dan Pasir Puteh.

"Kita dimaklumkan proses sudah mencapai 42 peratus kemajuan kerja dengan 86 lokasi daripada 208 telah siap sepenuhnya malah kita jangka 80 peratus bakal siap hujung tahun ini. Malah kita harapkan Kampar dan Batu Gajah bakal menikmati rangkaian 5G kelak," katanya pada sidang media selepas majlis Taklimat 5G dan Lawatan ke Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, dekat sini.

Mohd Azlan berkata sebanyak 208 tapak rangkaian 5G akan dipancarkan di sekitar daerah Kinta khususnya bandar Ipoh yang dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Dilaporkan, Ipoh kini menjadi bandar ke-5 di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Putajaya, Cyberjaya, dan Johor Bahru dan yang pertama di wilayah utara yang mempunyai capaian akses 5G berkelajuan 1GB per saat hasil usaha pasukan 5G Greater Ipoh yang diketuai MBI, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Digital Nasional Bhd (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Telekom Malaysia (TM).

Mohd Azlan berkata hasrat kerajaan negeri itu adalah untuk memberi fokus kepada penyediaan infrastruktur pendigitalan yang sebaik mungkin di seluruh Perak, selepas pelaksanaannya di Ipoh.

"Jawatankuasa yang akan ditubuhkan itu bakal menyelaras dan memantau kawasan yang masih belum mempunyai rangkaian 5G serta lain-lain inisiatif pembangunan infrastruktur untuk meningkatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di Perak," katanya.

-- BERNAMA