MALAYSIA
Kampung Angkat MADANI bukan sekadar inisiatif pembangunan fizikal - Aaron

Aaron menggesa penduduk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif berkenaan dengan menjaga kemudahan awam, menggerakkan aktiviti komuniti dan menyokong program kerajaan sebagai pemangkin perpaduan di peringkat akar umbi. - Foto Facebook/Aaron Ago Dagang
SIBU: Program Kampung Angkat MADANI bukan sekadar inisiatif pembangunan fizikal, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pemberdayaan komuniti sebagai ejen perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata pendekatan itu mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, kemampanan dan keterangkuman.
"Setakat ini, 43 kampung menerima manfaat program berkenaan pada 2024. Bagi 2025, kerajaan menyasarkan peluasan kepada 200 kampung dengan peruntukan RM200 juta, iaitu maksimum RM1 juta setiap kampung," katanya ketika merasmikan program itu di Kampung Sungai Balingiau, Rumah Awin Bajeng, Kanowit, pada Sabtu.
Menurutnya Kampung Sungai Balingiau dipilih kerana potensinya untuk menjadi model pembangunan komuniti luar bandar secara holistik dan bersepadu.Antara projek yang dilaksanakan di kampung itu termasuk pemasangan papan tanda Kampung Angkat MADANI; menaik taraf jalan masuk ke Sekolah Kebangsaan Nanga Balingiau; pembinaan laluan pejalan kaki ke sekolah; serta menaik taraf jalan utama ke Rumah Sandai dan Rumah Awin.
Projek turut meliputi pembinaan tandas awam di Rumah Sandai dan Rumah Awin; menaik taraf jambatan besi ke Rumah Awin; menaik taraf gelanggang futsal di Rumah Panjang Lika; serta pelaksanaan program kemasyarakatan bersama penduduk setempat.
Keseluruhan projek dijangka siap pada akhir November depan.
Aaron, yang juga Ahli Parlimen Kanowit, menggesa penduduk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif berkenaan dengan menjaga kemudahan awam, menggerakkan aktiviti komuniti dan menyokong program kerajaan sebagai pemangkin perpaduan di peringkat akar umbi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami