Kampung Sundang Laut terbakar, 150 penduduk hilang tempat tinggal

Radhi Muslim
April 21, 2021 07:49 MYT
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, sebanyak 30 buah rumah penduduk Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, Sandakan hangus dijilat api.
SANDAKAN: Dianggarkan lebih 150 penduduk Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, di sini hilang tempat berlindung dalam sekelip mata selepas terlibat kebakaran, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, sebanyak 30 buah rumah penduduk hangus dijilat api.
Ketua Zon Enam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Martin Thomas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.55 pagi.
Menurutnya, pihaknya telah mengerahkan empat jentera bomba dengan 40 anggota serta empat utiliti ke tempat kejadian.
“Kami telah melancarkan operasi pemadaman dengan pancutan air pertama pada jam 8.13 pagi,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran dianggarkan melibatkan 30 buah rumah.
“Anggaran keluasan terlibat pada pagi ini ialah 100 meter kali 200 meter, rumah yang terbakar sebanyak 30 buah dan jenis rumah tidak kekal.
“Untuk makluman operasi pagi tadi kita telah mengambil sumber air daripada lori tangki air sejauh 396 meter daripada lokasi kebakaran,” katanya.
Martin berkata, ketika kejadian air laut surut dan lori tangki tidak dapat masuk ke lokasi disebabkan ekoran jalan yang sempit.
Jelasnya, tiada mangsa terlibat dan punca kejadian serta nilai anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan.
#kebakaran #Kampung Sundang Laut #Batu Sapi #Sandakan #Sabah #150 penduduk #tempat berlindung #dijilat api