Satu lagi kawasan baharu wabak rabies di Kampung Tian, Matu, Mukah diisytiharkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kawasan wabak tersebut di negeri itu kepada 64 kawasan.

Kampung Tian terletak dalam radius 10 kilometer daripada kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan rabies sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Jumaat.

Katanya, rabies mula diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 dan kini telah memasuki tahun keempat namun penularan wabak ini masih terkawal di sana.

“Setakat Januari 2020 sehingga 27 Mei 2020, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah menerima 1,254 jumlah notifikasi kes gigitan haiwan melibatkan 81.9% haiwan bertuan dan 18.1% haiwan liar.

“Kebanyakan kes gigitan ini disebabkan provokasi terutamanya kepada anjing yang bertuan dan orang ramai dinasihatkan tidak berbuat demikian bagi mengurangkan risiko serangan balas anjing di luar jangkaan,” ujarnya.

Menerusi sidang media sama, Uggah mengumumkan bahawa tiada kes positif terbaharu COVID-19 dilaporkan dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak kekal 522 kes.

Selain itu, 13 kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dilaporkan sembuh telah discaj menjadikan jumlah kes yang telah sembuh meningkat kepada 499 orang atau 90.40 peratus.

Manakala, 72 kes Person Under Investigation (PUI) baru dilaporkan juga 428 kes (termasuk 339 PUS di Belawai) kes masih menunggu ujian makmal.