BANGI: Komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan berpeluang mempelajari bahasa Inggeris dengan ejaan tepat berserta sebutan yang betul, apabila kamus dwibahasa dalam tulisan Braille yang kini di dalam proses prototaip, siap sepenuhnya.

Ketua Program Pendidikan Khas, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Norazmi Nordin berkata penghasilan kamus Braille dwibahasa yang pertama di negara itu, bukan sahaja akan memberi manfaat kepada golongan tersebut, tetapi juga guru-guru yang mengajar murid OKU penglihatan, khususnya dalam bahasa Inggeris.

"Sebelum ini, rujukan yang ada hanyalah daftar kata...namun kamus Braille bahasa Melayu-bahasa Inggeris dan bahasa Inggeris-bahasa Melayu yang sedang diusahakan ini, merupakan kamus lengkap daripada huruf A hingga Z, serta beserta huraian jelas seperti mana kamus yang lain," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah pendidikan khas (Masalah Penglihatan) ditemui selepas Majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama antara Fakulti Pendidikan UKM dan Muslim Care Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Selain Muslim Care Malaysia, kamus dwibahasa tulisan Braille itu turut mendapat kerjasama Yayasan Orang Buta Malaysia, City University Malaysia serta disokong Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Menggunakan Kamus Dwibahasa Oxford Fajar sebagai rujukan utama, Mohd Norazmi berkata pihaknya akan menjemput pakar berkaitan bagi pemilihan dan penapisan perkataan, selain bantuan sukarelawan untuk memasukkan perkataan-perkataan yang dipilih ke dalam kamus tersebut.

Beliau yang berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang pendidikan khas berkata prototaip pertama dijangka siap dalam tempoh enam bulan sehingga setahun, dan memerlukan dana sehingga RM130,000 bagi menyiapkan 20 jilid kamus Braille.

Mohd Norazmi berkata kamus tersebut, menelan belanja lebih besar berbanding kamus biasa kerana memerlukan jumlah muka surat yang lebih banyak, selain kepakaran daripada golongan terbabit.

"Jika kamus biasa hanya dalam 500 muka surat, namun bagi kamus Braille ini akan mengandungi 1,500 sehingga 1,700 muka surat berikutan sel tulisan Braille yang akan memakan ruang.

"Kita juga perlu menggunakan khidmat kepakaran daripada komuniti OKU penglihatan, agar kamus itu dihasilkan mengikut codding yang betul dan tepat, serta mematuhi standard yang ditetapkan," kata bekas guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel ini.

Mohd Norazmi berkata berbanding bahan audio, bahan bacaan Braille dapat memberi ruang pembelajaran bahasa yang lebih baik berkaitan ejaan, struktur ayat, susunan frasa dan pembinaan ayat.

"Kalau tertinggal satu tanda baca mungkin akan jadi maksud lain, begitu juga penggunaan huruf kecil dan huruf besar. Jadi, untuk belajar ejaan dengan betul, kita tetap kena sentuh.

"Lagipun, sistem tulisan Braille merupakan pembelajaran tradisional OKU penglihatan jika mengikut kajian yang dilakukan, kekuatan mereka menerusi sentuhan melebihi pendengaran agar mereka lebih cepat ingat," katanya.

Beliau berharap penghasilan kamus dwibahasa itu dapat membantu murid OKU penglihatan di sekolah pendidikan khas belajar bahasa terutama bahasa Inggeris dengan lebih baik, sehingga mampu bersaing di peringkat global suatu hari nanti.

-- BERNAMA