MALAYSIA
Kanak-kanak 2 tahun cedera disyaki didera pengasuh

Pihak polis menerima laporan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disyaki menjadi mangsa dera selepas dihantar ke rumah pengasuh di Seksyen 16, Shah Alam pada 14 Ogos lalu. - Facebook Zehra Zubari
SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disyaki menjadi mangsa dera selepas dihantar ke rumah pengasuh di Seksyen 16, Shah Alam pada 14 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 15 Ogos sekitar jam 12 tengah malam selepas mendapati anaknya mengalami kesan lebam di muka.
Siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah pengasuh sekitar jam 10 pagi sebelum dipulangkan semula pada jam 9.30 malam dalam keadaan cedera.
“Ibu mangsa telah bertanya kepada pengasuh berhubung kecederaan anaknya, namun penjelasan yang diberikan tidak meyakinkan. Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan."Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, dan pegawai perubatan mengesahkan kecederaan dialami sebagai ‘alleged assaulted sustained soft tissue injury’ pada bahagian muka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 40 dan 37 tahun yang merupakan pengasuh kanak-kanak tersebut pada 17 Ogos, kira-kira jam 11.22 malam di sebuah pangsapuri di Seksyen 16.
“Kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari bermula 18 Ogos 2025 selepas perintah tahanan diperoleh di Mahkamah Shah Alam.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-811956.
Semalam, tular di media sosial melalui akaun Facebook seorang individu dikenali sebagai Zehra Zubari yang mendakwa anak saudaranya telah didera oleh pengasuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami