SEREMBAN: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun satu bulan oleh pengasuh di kawasan Sikamat di sini seperti yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superitenden Mohd Rosli Ishak berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan yang tular di aplikasi Instagram oleh seorang pemilik akaun mendakwa berlakunya penderaan ke atas anaknya.

"Semakan mendapati satu laporan polis telah diterima pada 7 Disember lalu berkaitan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Rosli berkata, pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa bentuk penganiayaan atau pengabaian ke atas kanak-kanak.

Sebelum ini pemilik akaun media sosial tersebut mendakwa kejadian penderaan itu berlaku pada 5 Disember lalu.

Menerusi hantaran yang tular di media sosial, wanita itu mendakwa kejadian disedari selepas suaminya melihat banyak kesan lebam di belakang badan anaknya ketika mahu menukar lampin.

"Suami terus panggil tengok badan anak. Betapa terkejut dan luluhnya hati tengok badan anak teruk lebam-lebam macam tu..

"Aku bagitahu awal-awal ye, sebelum ni memang dah banyak kali anak aku ada kesan-kesan lebam tapi tak 'obvious' sangat. Aku dengan laki (suami) aku boleh husnudzon lagi. Sebab bila kita orang tanya, jawapan yang diberi mesti cakap anak asuhan lain yang buat. Okey tak apa, aku fikir budak-budak," tulisnya.

Wanita itu mendakwa, sudah menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut sejak tiga bulan lalu dan selama tempoh tersebut akan ada kesan lebam pada badan anaknya tetapi tidak dimaklumkan oleh pengasuh berkenaan. - Sinar Harian