BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera hampir seluruh badan selepas dipercayai diserang sekumpulan anjing liar di kawasan Peserai, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa berada di hadapan rumah keluarganya.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai diserang sekumpulan anjing liar di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan pada hampir seluruh badan.
“Mangsa kemudiannya dibawa ahli keluarga ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan dengan haiwan. -Sinar Harian