JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di kawasan Taman Perling di sini ketika sedang bermain, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintenden Azrol Anuar Nor berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, tangan dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Beliau berkata mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tanah di bawah bangunan flat tersebut oleh penduduk setempat dan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira 5.30 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang bermain kejar-mengejar bersama beberapa kanak-kanak lain di kawasan koridor tingkat 10 flat berkenaan, sebelum menggunakan sebuah basikal untuk memanjat tembok koridor lalu terjatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azrol Anuar berkata bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan pada 11 pagi tadi dan pegawai perubatan forensik HSA mengesahkan bahawa punca kematian akibat kecederaan terjatuh dari tempat tinggi.
Beliau berkata polis telah mengenal pasti dan merakam percakapan empat saksi kejadian bagi melengkapkan siasatan, dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
"Orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan sentiasa mengawasi pergerakan serta aktiviti anak-anak dan memastikan mereka tidak memanjat atau bermain berhampiran kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan melalui Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara 07-556 3122 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA