GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dilanggar sebuah pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kilometer 83 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di Kampung Peria, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed, berkata dalam kemalangan jam 2.40 petang itu, Mohammad Elis Adam Abdullah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Semasa kejadian, mangsa yang berada di bahu jalan dipercayai telah berlari melintasi jalan, pada masa sama pacuan empat roda yang dipandu warga emas berusia 66 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bahru tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

"Mangsa dipercayai membeli barang di sebuah kedai dan mahu pulang ke rumahnya yang berada di seberang jalan," katanya dalam satu kenyataan Isnin malam.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.