REMBAU: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipatuk ular di kediamannya di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz, 17 bulan, disahkan meninggal dunia empat jam kemudian selepas menerima rawatan di Hospital Rembau.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, insiden malang itu berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama abangnya di bilik tidur utama rumah berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa sedang bermain dengan abangnya berusia tiga tahun sebelum ibunya yang turut berada di dalam bilik berkenaan terdengar jeritan anak bongsunya itu.

Ular patuk, kanak-kanak maut

“Ibu mangsa kemudian melihat terdapat seekor ular masuk ke lubang dalam bilik tersebut dan mendapati ada kesan patukan di tapak tangan sebelah kiri mangsa,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, wanita berkenaan terus membawa anaknya ke Hospital Rembau sebelum kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 1 pagi Sabtu.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.