KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun antara tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan kes samun menggunakan pisau di sebuah unit kediaman di Jalan Ampang, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Annas Sulaiman berkata selain kanak-kanak itu, enam individu lain terdiri daripada lima lelaki berusia 22 hingga 38 tahun dan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun, yang ditahan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Metro Pudu, di sini, 3 pagi semalam.
Beliau berkata penahanan itu susulan laporan daripada seorang lelaki berusia 21 tahun yang mendakwa disamun empat lelaki tidak dikenali menggunakan pisau semasa berada di kediaman berkenaan.
“Kesemua tujuh individu itu kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annas meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju melalui talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA