JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun rentung selepas sebuah lori tanpa muatan yang dinaiki bersama bapanya terbakar di Iskandar Halal Park, Cahaya Baru, Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, PBK I Iszahwati Supardi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.46 pagi. Seramai enam anggota bersama sebuah jentera FRT segera dikejarkan ke lokasi.
Advertisement
Sejurus tiba, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati lori jenis Volvo itu terbakar lebih kurang 60 peratus di bahagian hadapan.
“Tindakan awal orang awam telah cuba memadam kebakaran menggunakan enam unit alat pemadam api jenis debu kering serta sebuah jengkaut untuk membawa tanah,” katanya.
Katanya ketika kejadian, seorang kanak-kanak berada di dalam lori manakala bapa kanak-kanak terbabit yang juga pemandu lori itu berjaya menyelamatkan diri.
-- BERNAMA