Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemui rentung manakala ibunya parah akibat melecur, selepas rumah mereka musnah dijilat api pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi akibat melecur teruk di bahagian anggota badan manakala ibunya, Siti Sarta Mohd Azmi, 26 tahun, parah selepas melecur hampir 50 peratus.

Insiden yang berlaku di Kampung Tembongon di sini itu turut membabitkan tiga buah rumah berdekatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zainal@John Radsung berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.35 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tiga jentera dengan kekuatan seramai 22 anggota dari BBP Penampang, dibantu oleh BBP Kota Kinabalu, digegaskan ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan orang awam.

"Berdasarkan maklumat awal, kebakaran ini membabitkan empat buah rumah dengan salah sebuah rumah hangus terbakar.

Kebakaran yang berlaku di Kampung Tembongon, Putatan itu membabitkan empat buah rumah. - Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI

"Terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terkorban dalam kebakaran ini manakala ibunya turut parah akibat melecur di anggota badan," katanya ketika dihubungi.

Menurut Zainal, mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis manakala wanita itu telah mendapat rawatan awal melalui kenderaan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) sebelum dibawa ke hospital berdekatan.

"Operasi memadam berjaya ditamatkan pada jam 7.15 pagi.

"Punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran ini masih disiasat," katanya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi. Operasi memadam ditamatkan pada jam 7.15 pagi. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI