MALAYSIA

Kanak-kanak 6 tahun cipta rekod kenal pasti 65 mata wang dalam tempoh seminit

Sinar Harian 27/07/2025 | 09:15 MYT
Devakshean menunjukkan rekod MBOR dan British World Record yang diterimanya. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, D Devakshean, mencipta sejarah apabila berjaya mengenal pasti 65 mata wang pelbagai negara dalam tempoh satu minit, sekali gus melayakkan namanya disenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).


Ringkasan AI
  • Devakshean cipta rekod mengenal mata wang dunia: Kanak-kanak berusia enam tahun itu berjaya mengenal pasti 65 mata wang dalam satu minit, dan 200 mata wang dalam 11 minit 45 saat, sekali gus menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records dan British World Record.
  • Bakat luar biasa dikesan sejak usia setahun: Devakshean mula menunjukkan kebolehan mengenal bendera sejak kecil dan pernah mencipta rekod mengenal 241 bendera serta mercu tanda negara pada usia dua hingga empat tahun.
  • Harapan ke peringkat antarabangsa: Ibu bapa Devakshean berharap pencapaian anak mereka membuka peluang ke Guinness World Records, dan akan terus menyokong minat serta potensi luar biasa yang dimilikinya.


Lebih membanggakan, kebolehan luar biasa kanak-kanak genius itu turut mendapat pengiktirafan daripada British World Record apabila berjaya mengingat mata wang dari 200 negara dalam tempoh 11 minit 45 saat.

Menaga (kiri) menyampaikan sijil MBOR kepada Devakshean yang ditemani ibu bapanya. - Foto Sinar Harian


Menurut ibunya, Devamalar, 37, bakat Devakshean mula dikesan sejak usia setahun apabila dia sudah mampu mengecam bendera Malaysia.

“Sejak dia kecil lagi, memang kami nampak kebolehan luar biasa dia. Bila tunjuk gambar atau bendera, dia cepat ingat. Dari situ kami mula latih dia.

"Seawal usia dua tahun, dia telah mencipta rekod dengan mengenal pasti 241 bendera. Tahun lepas, ketika berumur empat tahun, dia menyertai cabaran mengenal pasti bendera dan mercu tanda negara pula. Itu pun berjaya mencipta rekod peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau ditemui pada majlis pengiktirafan Devakshean dalam MBOR dan British World Record yang berlangsung di Hotel D'sora Boutique di sini.

Pada majlis itu, Devakshean menerima pengiktirafan MBOR bagi kategori ‘Most Foreign Currencies Identified by a Child in One Minute’, manakala daripada British World Record, beliau diiktiraf sebagai ‘Young Global Expert of 195 Countries Flags and Currencies of the World’.

Penyerahan sijil pengiktirafan disempurnakan oleh Pegawai MBOR, V Menaga dan Koordinator British World Record di Malaysia, Profesor Datuk Dr S Santharaekaran.

Mengulas lanjut, Devamalar berkata, beliau dan suami, A Devakumaran, 41, hanya mengambil masa sebulan untuk melatih anak mereka bagi menghadapi cabaran tersebut.

“Kami mula latih dia masa cuti sekolah. Dalam tempoh sebulan, dia sudah bersedia. Jadi kami cuba mohon MBOR dan akhirnya berjaya.

"Dia memang cepat belajar. Kami tak pernah paksa, sebaliknya dia sendiri yang berminat. Kalau kami tak suruh pun, dia akan cari bahan sendiri dan hafal.

"Daya ingatannya memang luar biasa. Apa sahaja kami tunjuk, dia boleh ingat. Bukan setakat bendera dan mata wang sahaja, banyak lagi yang dia minat. Sebab itu kami mula latih dia sejak umur setahun,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini Devakshean belum memulakan pendidikan formal sepenuhnya, sebaliknya dihantar ke sebuah sekolah swasta bagi pendidikan awal kanak-kanak.

Ujarnya, sebagai ibu, beliau berharap pencapaian luar biasa anaknya itu dapat membuka lebih banyak peluang termasuk untuk menyertai Guinness World Records.

“Sekarang ini orang belum ramai kenal dia. Saya harap melalui hebahan media ini, lebih ramai tahu tentang dia dan dia dapat peluang ke peringkat antarabangsa.

"Kami juga sedang lihat potensi lain yang boleh dikembangkan. Kami akan kenal pasti bidang apa lagi yang dia minat dan boleh pergi jauh. Kami sudah tahu cara latih dia, jadi kami akan teruskan usaha ini,” ujarnya. -- Sinar Harian




#kanak-kanak 6 tahun #pecah rekod #kenal pasti mata wang #D Devakshean #Malaysia Book of Records