MALAYSIA

Kanak-kanak 7 tahun parah dipukul bapa saudara dengan tukul

Sinar Harian 25/09/2025 | 22:05 MYT
Seorang kanak-kanak kritikal dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di sebuah rumah kedai di Jalan Kedai Jelawat, Bachok pada Khamis. - Foto Sinar Harian
BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun parah selepas dipercayai dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di sebuah rumah kedai di Jalan Kedai Jelawat, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan kini dalam keadaan kritikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang memaklumkan berhubung kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul mangsa menggunakan tukul di rumahnya sendiri.

“Mangsa dipercayai anak saudara kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Bachok untuk rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa sangat kritikal,” katanya. - Sinar Harian






#kanak-kanak dipukul dengan tukul #Bachok #tukul #Kanak-kanak