MALAYSIA
Kanak-kanak 9 tahun mati dipercayai didera bapa tiri
Kejadian terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta memaklumkan kejadian itu. - Gambar/ Astro AWANI
MELAKA TENGAH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera bapa tirinya dalam kejadian di rumah mereka di Kota Laksamana, di sini pagi tadi.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 10.15 pagi.
Difahamkan mangsa dihantar bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan sebelum doktor mengesyaki terdapat kesan penderaan pada tubuh badan mangsa.
"Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.
"Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lembam di kepala dan badan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang doktor di sebuah hospital swasta yang memaklumkan seorang kanak-kanak telah dihantar oleh bapa tirinya ke pusat perubatan tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Hasil pemeriksaan mendapati pesakit mengalami patah kaki dan terdapat kesan lebam di bahagian kepala serta badan yang disyaki akibat didera.
"Pesakit kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 9.45 pagi. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Difahamkan, suspek yang merupakan warga tempatan telah ditahan polis selepas menghantar mangsa ke hospital swasta di Banda Hilir.