MALAYSIA

Kanak-kanak cedera dilanggar van sekolah ketika melintas ke rumah pengasuh

Sinar Harian 07/08/2025 | 23:25 MYT
Tangkap layar video tular memaparkan kanak-kanak lelaki dilanggar van sekolah ketika mahu melintas jalan. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas dilanggar van sekolah yang menurunkannya di hadapan rumah pengasuh di Jalan Mantau Indah 3/4, Taman Mantau Indah 3, di sini, pada Isnin lalu.

Kejadian sekitar jam 11.50 pagi itu berlaku ketika kanak-kanak berkenaan berjalan di hadapan van terbabit untuk melintas ke rumah pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa van sekolah jenis Kia Pregio yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Tabika Perpaduan Taman Mantau Indah untuk menghantar mangsa ke rumah pengasuh.

“Apabila sampai di lokasi, mangsa telah turun dari van tersebut dan berjalan di hadapan kenderaan itu untuk melintas ke rumah pengasuh.

“Namun, pemandu van terbabit telah terlanggar mangsa menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan lanjut dan didapati mengalami kecederaan pada bahagian kepala, badan, tangan dan kaki.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pemandu pengangkutan awam supaya sentiasa peka terhadap pergerakan penumpang selepas keluar dari kenderaan, selain memastikan mereka benar-benar selamat tiba di destinasi sebelum meneruskan perjalanan.

“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin, di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. - Sinar Harian




#melintas jalan #Kanak-kanak #van sekolah #Seremban