[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kanak-kanak cedera diserang anjing perlu jalani pembedahan susulan - Polis

Bernama 07/09/2025 | 13:11 MYT
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata mangsa yang dirawat di Hospital Putrajaya kini dalam keadaan stabil. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera di bahagian kepala akibat diserang anjing liar di Batu 9, Cheras, Rabu lepas perlu menjalani satu lagi pembedahan bagi menjahit kulit luar kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata mangsa yang dirawat di Hospital Putrajaya kini dalam keadaan stabil.

"Pihak hospital telah menjalankan pemeriksaan bagi mengesan jangkitan rabies dan memberikan rawatan awal termasuk ubat nyahrabies. Keputusan ujian hanya akan diketahui selepas hasil analisis diperoleh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron dalam kenyataan sebelum ini menyatakan siasatan mendapati anjing yang menyerang kanak-kanak itu adalah anjing liar dan tidak bertuan, seperti disahkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Sebelum ini, tular menerusi media sosial rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak diserang seekor anjing semasa bermain basikal berhampiran rumahnya, menyebabkan kecederaan parah di kepala.

Beberapa gambar kecederaan dialami mangsa turut tersebar menerusi media sosial.

-- BERNAMA

#Kanak-kanak #cedera diserang anjing #Cheras #polis #rawatan