Kanak-kanak enam tahun hidap kanser payudara

Bernama
Februari 6, 2014 11:47 MYT
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) mengesan seorang kanak-kanak berusia enam tahun menghidap kanser payudara ketika ia menjalani rawatan di hospital itu pada Oktober tahun lalu.
Ketua Jabatan dan Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin HRPZII, Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, kanak-kanak itu yang berasal dari Pantai Cahaya Bulan di sini dikesan mempunyai satu biji sebesar dua sentimeter di bahagian dada.
"Pembedahan dilakukan untuk membuang biji tersebut dan kini pesakit tersebut perlu menjalani rawatan berkala pada setiap bulan.
"Bagaimanapun, kita percaya ia boleh diubati memandangkan (ia dikesan di) peringkat awal iaitu tahap pertama dan kemungkinan faktor genetik," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Beliau berkata, kanser payudara yang merupakan pembunuh nombor satu bagi wanita di Malaysia, namun di Kelantan, berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, kanser payudara menjadi penyebab kedua kematian selepas kanser usus.
Imi Sairi berkata, berdasarkan rekod HRPZII, terdapat 2,262 pesakit secara keseluruhan menghidap kanser dan paling ramai adalah penghidap kanser payudara iaitu 593 pesakit, diikuti kanser usus (262) dan ovari 183 pesakit, selain kanser tiroid, serviks dan leukemia.
"Kanser payudara juga turut dihidapi pesakit lelaki, namun mereka lebih menderita akibat penyakit kanser usus dan prostat," katanya.
Katanya, hampir 50 peratus pesakit kanser di negeri ini mendapatkan rawatan di hospital setelah penyakit itu menjadi kronik di peringkat tahap ketiga dan keempat.
#bayah payudara #Hospital Raja Perempuan Zainab II #HRPZII #Kanak-kanak
;