[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas terjatuh dalam longkang di Masjid Tanah

Bernama 27/11/2025 | 20:10 MYT
Pasukan Penyelamat di Air JBPM Melaka melaksanakan 'rapid deployment approach' dan pencarian di permukaan air berikutan paras air yang tinggi dan deras. - Gambar hiasan
ALOR GAJAH: Kanak-kanak lelaki yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah di sini hari ini, ditemukan lemas malam ini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata mayat mangsa ditemukan pada 8.35 malam selepas pencarian selama dua jam setengah.

"Mangsa berumur 11 tahun dan mayatnya ditemukan tersangkut pada sebatang pokok kira-kira 600 meter dari lokasi terakhir dia dilihat," katanya.

Beliau berkata Pasukan Penyelamat di Air melaksanakan 'rapid deployment approach' dan pencarian di permukaan air berikutan paras air yang tinggi dan deras.

Terdahulu, Zulkhairani berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 5.47 petang sebelum anggota bomba tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian.

-- BERNAMA





#kanak-kanak jatuh longkang #lemas #JBPM Melaka #Masjid Tanah