[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Kanak-kanak lelaki lima tahun maut dilanggar MPV ketika melintas

Bernama 17/12/2025 | 02:25 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dilanggar sebuah MPV ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, Alor Gajah, petang semalam. - Foto Sinar Harian
ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah Toyota Avanza dipercayai ketika sedang melintas di Jalan Paya Mengkuang, di sini semalam.


Ringkasan AI
  • Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah Toyota Avanza semasa melintas di Jalan Paya Mengkuang, Alor Gajah.
  • Kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu oleh lelaki 64 tahun yang bekerja sebagai penyelia, dan kemalangan itu menyebabkan kanak-kanak mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala sehingga meninggal dunia.
  • Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata dalam kejadian 5.09 petang semalam, kanak-kanak itu sedang melintas dari kawasan perumahan menuju ke seberang jalan, sebelum dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan yang dipandu lelaki berusia 64 tahun.

"Sebelum kejadian, MPV dipandu lelaki yang bekerja sebagai penyelia itu dalam perjalanan dari arah Paya Mengkuang ke Masjid Tanah, sebelum melanggar mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan.

"Akibat kemalangan itu, kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan saringan ujian air kencing ke atas pemandu telah dijalankan dan keputusan adalah negatif.

Beliau berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan brek kira-kira lima meter dan keadaan jalan di kawasan itu ialah satu lorong dua hala, dengan permukaan jalan kering dan cuaca baik.

Ahmad berkata MPV yang terlibat mengalami kerosakan di bahagian hadapan termasuk bonet rosak serta logo kenderaan dan plat pendaftaran tercabut akibat impak perlanggaran.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Ahmad berkata orang awam yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan, diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Salina Rosli daripada Balai Polis Trafik Alor Gajah menerusi talian 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA


#kanak-kanak dilanggar MPV #kanak-kanak melintas jalan #Alor Gajah #meninggal dunia