MELAKA:Seorang kanak-kanak berusia 7 tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Taman Krubong Jaya, Melaka, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya sebelum siasatan mendapati terdapat kecederaan pada badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata susulan itu polis menahan ibu dan bapa tirinya yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun.

“Kira-kira jam 4 petang tadi (Jumaat), Bilik Gerakan (DCC) Melaka Tengah terima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan bahawa anaknya telah mati lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dan pemeriksaan fizikalnya terhadapnya terdapat kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap kanak-kanak yang tinggal bersama ibu dan ayah itu juga mendapati dia telah dicederakan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kita buka siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh.

“Permohonan reman akan dilakukan esok (Sabtu) di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh,” tambahnya.