JASIN:Jenazah kanak-kanak malang yang ditemui lemas dalam tong dan dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya pada Jumaat, selamat dikebumikan hari ini.

Majlis pengebumian selesai pada jam 12.45 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar di sini, dengan dihadiri ahli keluarga kandung dan keluarga angkat kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

Suasana pilu sepanjang majlis pengebumian yang berlangsung kira-kira 35 minit.

Hanya keluarga terdekat dibenarkan berada di sekitar liang lahad bagi menyaksikan pengebumian.

Terdahulu, jenazah yang dituntut pagi tadi oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka telah dibawa ke Madrasah As-Syakirin untuk dimandikan dan disembahyangkan. 

Majlis pengebumian hanya dihadiri ahli keluarga kandung dan keluarga angkat kanak-kanak terbabit. - Astro AWANI

Ia sekali gus menamatkan teka-teki lokasi pengebumiannya yang mana ibu angkatnya yang membesarkannya sejak lahir sehingga Oktober tahun lau, merayu jenazah itu dibawa ke Rawang, Selangor.

Namun, permintaan itu ditolak oleh keluarga kandung.

Pada awalnya, pihak polis membenarkan liputan media dibuat di tanah perkuburan itu, bagaimanapun atas permintaan keluarga kandung, media diarah keluar dan hanya berada di luar pagar. 

BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong: Jenazah dijangka dikebumi dekat kediaman keluarga kandung 



Sementara itu, ibu angkat kanak-kanak itu, Norlida Abu Hassan, ketika ditemui selepas pengebumian sempat menyatakan syukur akhirnya majlis pengebumian kanak-kanak yang dipanggil 'Adik' itu berjalan lancar.

“Walaupun Umi sedih tidak dapat bawa Adik pulang ke rumah kami di Rawang, namun Umi syukur semuanya selesai.

“Umi janji selepas ini Umi akan selalu datang Melaka jengah kubur Adik. Malam tadi pun Abang Ngah sampai termimpikan Adik,” katanya dalam linangan air mata. 

Kubur untuk kanak-kanak itu telah sedia digali semalam di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar. - Astro AWANI.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang itu bermula kira-kira jam 11 pagi Ahad sebelum selesai jam 10 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Sukri Kaman mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu. 

Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga ibu kandung kanak-kanak itu. - Astro AWANI