[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Kanak-kanak perempuan 3 tahun ditemui lemas dalam parit sawah

Sinar Harian 17/06/2025 | 04:30 MYT
Lokasi parit sawah di Kampung Bukit Kenak Tok Kundur, Jerteh, di mana mangsa dijumpai lemas.
BESUT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam parit sawah berhampiran rumah neneknya di Kampung Bukit Kenak Tok Kundur, Jerteh di sini petang Isnin.

Ringkasan AI
  • Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam parit sawah berhampiran rumah neneknya di Kampung Bukit Kenak Tok Kundur, Jerteh, selepas dipercayai bermain seorang diri.
  • Mangsa ditemui terapung oleh bapa saudaranya sekitar jam 6.10 petang dan disahkan meninggal dunia di Hospital Besut. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
  • Polis menasihati ibu bapa agar lebih peka terhadap keselamatan anak-anak dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa jam 8.53 malam Isnin.
Menurutnya, mangsa, Intan Inara Mohammad Hariz Husaini, dipercayai keluar melalui pintu belakang rumah neneknya dan bermain seorang diri di kawasan belakang rumah tanpa disedari sesiapa.
"Pada hari kejadian, mangsa telah ke rumah neneknya untuk menziarahi keluarga itu.
"Namun, sekitar jam 6.10 petang mangsa ditemui terapung di dalam parit sawah padi kira-kira 300 meter dari rumah oleh bapa saudaranya sebelum dibawa ke Hospital Besut.
"Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Tambah beliau, bedah siasat ke atas mangsa dijalankan pada Selasa bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam pada itu, polis menasihati ibu bapa agar sentiasa peka terhadap pergerakan anak-anak kecil terutama ketika berada di kawasan yang berisiko.
"Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama. Kita menyeru ibu bapa untuk meningkatkan pengawasan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang," katanya.
Pihak polis juga mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Jelas beliau, sebarang maklumat berhubung jenayah di daerah ini boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222. - Sinar Harian
#kes lemas #Kanak-kanak perempuan lemas #Besut #sawah padi