NATIONAL

Kanak-kanak perempuan disyaki didera mungkin ditempatkan di bawah JKM

Bernama 25/05/2025 | 14:06 MYT
Pengarah JKM Pulau Pinang Zakaria Taib berkata pihaknya masih meneruskan usaha mengesan saudara atau waris terdekat murid Tahun Enam itu. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang berkemungkinan akan menempatkan kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa dera ibu bapanya di bawah penjagaan jabatan itu jika tiada saudara terdekat yang menjaganya.

Pengarah JKM Pulau Pinang Zakaria Taib berkata pihaknya masih meneruskan usaha mengesan saudara atau waris terdekat murid Tahun Enam itu, yang sanggup menjaga kerana mahu mangsa dibesarkan dalam persekitaran keluarganya.

"Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan sehingga kini masih mencari saudara terdekatnya yang sanggup menjaga kanak-kanak perempuan itu, namun usaha itu belum berjaya.

"JKM tidak akan memaksa mana-mana saudara terdekat tetapi jika tiada waris yang sanggup mengambil tanggungjawab itu, kita akan tempatkan mangsa di institusi penjagaan di bawah seliaan JKM sebagai langkah terakhir kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata abang kepada kanak-kanak perempuan itu yang berusia 15 tahun menetap bersama nenek mereka di Balik Pulau sejak kecil dan berada dalam keadaan baik.

Zakaria memaklumkan berdasarkan maklumat yang diterima, kanak-kanak perempuan itu menetap bersama neneknya ketika masih kecil, namun atas faktor tertentu bapanya telah mengambil mangsa untuk dijaga.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri pada Selasa lepas bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan lebam dan luka pada belakang badan dipercayai dirotan dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Ara dekat sini.

-- BERNAMA

#Jabatan Kebajikan Masyarakat #pulau pinang #kanak-kanak perempuan #mangsa dera #jkm