Kanak-kanak perempuan umur setahun maut akibat strok haba di Kelantan

Muhafandi Muhamad
April 27, 2023 12:12 MYT
Menurut Ahmad Faris Fazli Mohd Nasir, anak tunggalnya itu, Nur Imani, mulai batuk sejak seminggu lalu dan mengalami simptom muntah-muntah beberapa hari selepas itu. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dari Kampung Kota, di sini, meninggal dunia pada Selasa dipercayai kerana strok haba.
Menurut Ahmad Faris Fazli Mohd Nasir, anak tunggalnya itu, Nur Imani, mulai batuk sejak seminggu lalu dan mengalami simptom muntah-muntah beberapa hari selepas itu.
"Punca kematian hasil 'post-morterm' adalah disebabkan strok haba. Air dalam badan semua kering, paru-paru sudah kecut semua," katanya di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Faris lagi, anaknya itu mula kritikal pada Isnin malam.
Terdahulu, katanya dia dan isteri membawa anaknya ke sebuah klinik swasta sebelum diminta menghantar ke hospital.
"Semasa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, keadaan anak saya lemah dan kesejukan.
"Namun doktor yang bertugas di unit kecemasan pada malam berkenaan hanya memberikan ubat dan meminta kami membawa pulang anak kami.
"Doktor bagi balik, saya pun tak tahu... memang niat nak suruh masuk wad sebab anak saya lembik dah," katanya.
Katanya, keadaan anaknya semakin teruk sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 7.20 pagi Selasa.
Astro AWANI akan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan berhubung ini.
Difahamkan terdapat dua kes kematian melibatkan strok haba di Kelantan setakat ini masing-masing membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia setahun dan 11 tahun yang meninggal dunia pada Selasa.
Difahamkan, hasil bedah siasat kanak-kanak lelaki itu mendapati buah pinggang dan jantungnya rosak dengan dihidrasi yang teruk.
Kanak-kanak berkenaan dikatakan bermain di luar rumah pada hari raya pertama sewaktu cuaca panas.
#strok haba #Kelantan #cuaca panas #kanak-kanak maut