MALAYSIA

Kanak-kanak tiga tahun maut jatuh tingkat enam pangsapuri

Sinar Harian 23/08/2025 | 08:41 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara. -Gambar hiasan/Bernama
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara pada Khamis lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara.
  • Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
  • Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Petaling Jaya.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.42 petang.

Beliau berkata, mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di laluan pejalan kaki sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis.

“Pasukan perubatan yang hadir ke lokasi kemudian mengesahkan kanak-kanak terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai jatuh dari tingkat enam pangsapuri berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ainaa Athira di 010-2762186,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial berkaitan kematian seorang kanak-kanak dipercayai akibat terjatuh dari pangsapuri berkenaan. -Sinar Harian




#Kanak-kanak #kanak-kanak lelaki #budak tiga tahun maut #jatuh dari tingkat enam #pangsapuri di Kota Damansara