Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Kanak-kanak tiga tahun maut kereta dipandu bapa terlibat kemalangan

Bernama 22/11/2025 | 03:00 MYT
Siasatan mendapati kejadian berlaku 3.35 petang selepas kereta Perodua Bezza yang hilang kawalan terbabas ke laluan bertentangan dan kereta Bezza dipandu bapa mangsa gagal mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.
KUALA PILAH: Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut selepas kereta dipandu bapanya bertembung sebuah kereta di KM 3 Jalan Kuala Pilah-Melang berhampiran sebuah stesen minyak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia selepas lebih lima jam menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini kerana cedera parah di kepala.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku 3.35 petang selepas kereta Perodua Bezza yang hilang kawalan terbabas ke laluan bertentangan dan kereta Bezza dipandu bapa mangsa gagal mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.

"Mangsa duduk di bahagian penumpang belakang dan turut berada dalam kereta itu ialah ibu dan kakak saudara berusia 16 tahun," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiga ahli keluarga kanak-kanak itu dan pemandu sebuah lagi Bezza masih menerima rawatan di hospital sama.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA



#kemalangan #kanak-kanak maut #kereta dipandu bapa #kanak-kanak perempuan