KUALA KANGSAR:Belanjawan Negeri Perak 2021 tidak akan diubah dan akan dibentang di persidangan Dewan Undangan Negeri, seperti mana dirangka pentadbiran sebelum ini.

Menteri Besar Perak yang baharu dilantik Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia hanya akan diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai formaliti, sebelum dibentangkan.

"Saya tak fikir kita ada masa teliti atau ubah kandungan isi belanjawan yang telah pun dirangka dan dibincang bersama Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang lama, termasuk saya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sulungnya, sebaik selesai Istiadat Mengangkat Sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN).

Persidangan DUN sebelum ini ditangguhkan sehingga Rabu ini.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata agenda utama pentadbirannya adalah untuk meletakkan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan, khususnya dalam mengharungi pandemik COVID-19.

"Justeru, kerajaan negeri perlu pastikan Belanjawan 2021 Perak bukan sahaja mampu memulihkan ekonomi, menjana ekonomi tetapi juga membantu rakyat yang susah disebabkan pandemik ini," katanya.

Saarani turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang mengetuai jentera kerajaan negeri sebagai Menteri Besar sebelum ini, selain ucapan terima kasih turut diberikan kepada Exco terdahulu dan kakitangan awam.

Mengulas mengenai pelantikannya, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata beliau menginsafi amanah yang perlu dipikul dengan penuh bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan ditadbir berhemah, adil dan saksama untuk setiap lapisan masyarakat.

"Saya seru semua pihak letakkan agenda rakyat sebagai keutamaan, kita tahu COVID-19 adalah cabaran getir yang perlu dihadapi kerajaan dan ia hanya mampu diharungi dengan komitmen jitu semua pihak termasuk kakitangan awam peringkat negeri dan Persekutuan," katanya.

[LAPOR LANGSUNG]: Saarani MB baharu Perak

Mengenai barisan Exco baharu, Saarani berkata lima Exco yang baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, di sini, 2.30 petang ini.

Beliau berkata nama kesemua mereka telah dipersembah dan diperkenan Sultan Nazrin pagi tadi.

"Pagi tadi saya telah memohon menghadap dan sembah maklum kepada Tuanku supaya untuk peringkat pertama saya cadangkan lima nama untuk diperkenan, saya mohon segera untuk diadakan istiadat angkat sumpah untuk bolehkan saya panggil mesyuarat Exco pertama supaya dapat meneliti dan meluluskan bajet," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama kesemua mereka.

-- BERNAMA