MALAYSIA

Kandungan jelik di TikTok: Shafiq Halim bayar kompaun RM10,000 - MCMC

Bernama 09/07/2025 | 06:02 MYT
Tindakan ke atas Mohamad Shafiq diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar fail/Sinar Harian
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima bayaran kompaun sebanyak RM10,000 daripada Mohamad Shafiq Abdul Halim, yang dikenakan tindakan penguatkuasaan atas kesalahan memuat naik kandungan jelik dan melampau menyentuh sentimen kaum serta agama melalui aplikasi TikTok pada 31 Mac lepas.


Ringkasan AI
  • Mohamad Shafiq Abdul Halim dikenakan kompaun RM10,000 oleh MCMC atas kesalahan memuat naik kandungan jelik menyentuh isu kaum dan agama di TikTok pada 31 Mac.
  • Tindakan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selepas mendapat kebenaran pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
  • MCMC menegaskan komitmen untuk menjaga keselamatan ruang siber dan menyeru pengguna media sosial agar beretika serta bertanggungjawab dalam berkongsi kandungan.


Menurut MCMC, tindakan penguatkuasaan terhadap Mohamad Shafiq diambil hasil siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], serta selepas memperoleh kebenaran pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.

"MCMC memandang serius penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan ekstrem atau yang menyentuh institusi negara.

"Pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsi," menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia.

-- BERNAMA



#MCMC #Mohamad Shafiq Abdul Halim #bayar kompaun #kandungan jelik #TikTok