[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Kanser payudara meningkat ketara sejak 2007, lebih 50 peratus lewat dikesan - Dzulkefly

Bernama 01/10/2025 | 10:08 MYT
Sempena bulan kesedaran kanser payudara, KKM menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 wanita berumur 30 tahun dan ke atas menjalani saringan sepanjang Oktober hingga Disember tahun ini melalui aktiviti saringan yang telah diatur. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Bilangan kes kanser payudara di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sejak 2007, dengan 50.5 peratus kes dikesan pada peringkat lewat iaitu pada tahap tiga dan empat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sebanyak 18,206 kes baharu direkodkan dalam tempoh 2007 hingga 2011, diikuti 21,634 kes antara 2012 hingga 2016, manakala lonjakan tertinggi direkodkan dalam tempoh 2017 hingga 2021 iaitu sebanyak 29,534 kes.

"Data ini diambil setiap lima tahun dan bagi 2022 hingga 2023, (biarpun data tidak lengkap) sebanyak 12, 820 kes dilaporkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Kesedaran Kanser Payudara di sini hari ini.

Justeru, katanya sempena bulan kesedaran kanser payudara, KKM menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 wanita berumur 30 tahun dan ke atas menjalani saringan sepanjang Oktober hingga Disember tahun ini melalui aktiviti saringan yang telah diatur.

Beliau berkata antaranya pemeriksaan klinikal payudara untuk wanita dari Ibu Pejabat KKM berumur 30 hingga 60 tahun atas, khususnya golongan B40 berserta rujukan mamogram secara percuma.

"Saringan kanser payudara komuniti di 83 lokasi seluruh Malaysia juga diadakan termasuk di 20 hospital panel Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di 12 negeri," katanya.

Selain itu, Dzulkefly berkata Jelajah Saringan Mamogram menggunakan Trailer UniSZA akan turut diadakan dengan usaha sama NCSM dan program saringan komprehensif yang merangkumi kanser kolorektal, serviks, prostat dan paru-paru.

Beliau berkata inisiatif berkenaan akan memperluas capaian saringan kanser payudara, meningkatkan pengesanan awal dan seterusnya membolehkan rawatan awal dimulakan yang bukan sahaja akan menyelamatkan nyawa malah meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Dzulkefly berkata usaha itu memerlukan kerjasama erat dan padu semua pihak termasuk KKM, badan bukan kerajaan, sektor swasta, media dan komuniti bagi memperluas capaian saringan dan rawatan dan menyokong sasaran Global Breast Cancer Initiative iaitu meningkatkan kesedaran, pengesanan awal, diagnosis tepat pada masanya dan rawatan komprehensif untuk pesakit.

Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 yang bertemakan "Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa" selari dengan tema Hari Kanser Sedunia 2025-2027 iaitu "Penyatuan dalam Keunikan" yang menekankan kepentingan penyatuan dan kerjasama semua pihak dalam memerangi kanser.

Pink Oktober, atau Bulan Kesedaran Kanser Payudara ialah kempen kesedaran global setiap bulan Oktober untuk mendidik orang ramai tentang kanser payudara, menggalakkan pemeriksaan awal, dan menyokong mereka yang menghidap penyakit itu.

-- BERNAMA


#golongan B40 #Kementerian Kesihatan #kanser payudara #kempen kesedaran global