Sebuah kapal dagang dikesan bersauh di kawasan laluan utama kapal dagang yang mengundang bahaya kepada kapal-kapal melalui kawasan tersebut di selatan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata kapal tangki dengan tanda nama MT VIET TIN 01 berdaftar di Vietnam dikesan berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 4.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.

Katanya, atas faktor keselamatan dan keadaan cuaca tidak mengizinkan, khidmat Pasukan Tindakan Khas (PTK) digunakan bagi melakukan pemeriksaan dengan kaedah fast roping sekitar jam 9 pagi tadi.

“Sebelum pemeriksaan itu dilakukan, aset kapal dan bot dari Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) yang
ditugaskan ke lokasi telah cuba menghubungi kapal tangki tersebut melalui panggilan radio dan pembesar suara, namun tiada maklum balas yang diterima dan kapal tersebut disyaki telah ditinggalkan.

"Semakan turut dilakukan dengan pihak Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Jabatan Laut Malaysia dan mendapati tiada rekod mengenai kapal tangki tersebut serta pemilik kapal sedang dikesan.

"Bagi memastikan keselamatan kapal-kapal lain yang melalui kawasan tersebut, difahamkan bahawa pihak Jabatan Laut telah mengeluarkan maklumat keselamatan pelayaran secara berterusan kepada kapal-kapal yang melalui kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Aminuddin, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang kru lelaki warga Vietnam berusia 61 tahun di atas kapal tangki tersebut yang menyatakan dirinya merupakan ketua jurutera kapal.

Katanya, lelaki itu memaklumkan bahawa kapal telah hanyut dari posisi asal kapal bersauh dan sebelum daripada itu, kesemua kru termasuk nakhoda telah turun pulang ke negara masing-masing dan pengganti mereka dijangka akan menaiki kapal pada minggu hadapan.

"Maritim Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia sedang mengusahakan pemindahan kapal tangki tersebut ke lokasi yang selamat.

"Kapal tangki bersama ketua jurutera tersebut ditahan bagi siasatan lanjut," katanya.

Aminuddin menegaskan, Maritim Malaysia sentiasa bersedia mengawasi keselamatan dan kesejahteraan perairan selat Melaka yang menjadi tumpuan laluan kapal-kapal dagang seluruh dunia khususnya dan seluruh perairan negara amnya pada sebilang masa tidak kira samada ketika cuaca buruk sekalipun.

Orang ramai terutama para pengguna perairan Johor yang berdepan situasi kecemasan dinasihatkan supaya segera menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

Selain itu, Maritim Malaysia turut menasihatkan agar segala faktor keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh komuniti maritim terutamanya pada musim tengkujuh ini.