Kapal kargo hilang: Maritim siasat jika ada unsur jenayah

Sinar Harian
Januari 13, 2023 00:40 MYT
Pencarian MV Dai Cat 06 masih diteruskan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia di perairan Natuna, negara berkenaan. -Gambar fail/Maritim Malaysia
PUTRAJAYA: Kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang pada sejak Isnin lalu masih belum ditemui setakat ini.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, siasatan lanjut dijalankan sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kehilangannya.
"Kita masih menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat unsur jenayah membabitkan kehilangan kapal ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Zubil berkata, pencarian masih diteruskan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia di perairan Natuna, negara berkenaan.
"Kapal terbabit membawa muatan besi paip dilaporkan keluar dari Kampung Acheh, Perak pada 23 Disember lalu menuju ke Kuching, Sarawak dan sepatutnya tiba pada 31 Disember lalu," katanya.
Mohd Zubil berkata, Op Carilamat masih diteruskan dengan pembabitan sebuah bot dan sebuah kapal dari Ibu Pejabat Bahagian Mencari dan Menyelamat (SAR) Natuna dan sebuah bot dari Ibu Pejabat SAR Pontianak, Indonesia.
"Pencarian pada hari ini bertumpu di kawasan terakhir isyarat kecemasan 'Emergency Position Indicating Radio Beacon' (EPIRB) yang dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) menggunakan Sistem COSPAS-SARSAT," katanya.
Mohd Zubil berkata, pihaknya juga mengatur gerak aset di Maritim Sarawak bagi membantu pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia di perairan Tanjung Datu sehingga ke perairan Kuching, Sarawak.
"Kru kapal yang hilang itu adalah Adi warga Indonesia berusia 46 tahun, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24 tahun sebagai ketua pegawai (Malaysia); Damai Papane Ole, 57, sebagai ketua jurutera (Indonesia); Derrent Littor, 22, kelasi (Malaysia) dan Mohammad Suhaideh Sudin, 22," katanya.
Pada Selasa, media melaporkan kehilangan MV Dai Cat 06 dimaklumkan oleh oleh Maritim Malaysia.
Kapal berukuran 52 meter panjang itu membawa 527 batang besi bernilai RM726,205. -Sinar Harian
#Maritim Malaysia #kapal kargo hilang #MV Dai Cat 06 #perairan Natuna