JOHOR BAHRU: Seramai 12 kru dari kapal MT Layar Anggun 8 yang terbakar pada kedudukan 5.6 nautika tenggara Pulau Lima Johor berjaya diselamatkan pihak berkuasa Singapura ketika kapal berkenaan berada di kedudukan 9.5 batu nautika Timur Tanjung Punggai pada Selasa lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima makluman daripada Zon Maritim Tanjung Sedili mengenai kebakaran berkenaan pada jam 3.30 petang Selasa lalu susulan e-mel yang diterima daripada pihak Vessel Traffic Management System (VTMS) Pasir Gudang.

Menurutnya, sebaik menerima makluman terbabit, pihak Maritim Johor melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru kemudiannya telah menghantar kapal serta bot ronda ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat, namun kapal MT Layar Anggun 8 didapati tidak berada di lokasi dinyatakan.

“Sekitar jam 4.30 petang, pihak MRSC Johor Bahru menerima pengesahan bahawa kapal MT Layar Anggun 8 yang membawa muatan kargo itu telah hanyut dan memasuki perairan Pulau Bintan, Indonesia.

“Pada masa sama, pihak Maritim Johor dimaklumkan, kesemua 12 kru kapal berkenaan telah diselamatkan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa Singapura ketika berada pada kedudukan 9.5 batu nautika Timur Tanjung Punggai, Johor.

“Pihak Maritim Malaysia Johor turut dimaklumkan bahawa kesemua kru yang diselamatkan telah diserahkan kepada ejen kapal untuk tindakan lanjut sementara kebakaran kapal berkenaan berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk rekod, biarpun insiden berkenaan berlaku dalam perairan negara, namun kapal yang berada berhampiran dengan kawasan kejadian perlu segera melaporkan kejadian terbabit kepada pihak Vessel Trafic Services9 (VTS).

Selain itu, menurut Manual Search and Rescue (SAR) Kebangsaan, aset-aset yang berada berhampiran sesuatu kecemasan di laut harus memberikan bantuan tanpa mengira sempadan negara seperti mana termaktub di dalam Pembahagian Sektor Pelaporan Kapal Dalam Traffic Separation Scheme (TSS) Selat Melaka dan Singapura. - Sinar Harian