[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
MALAYSIA

Kapal misi FFC dan TMTG diserbu: MyCARE terputus hubungan komunikasi 10.03 pagi

Faida Rahim 08/10/2025 | 05:29 MYT
Presiden MyCARE Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustaha (tengah) bercakap pada sidang media khas di ibu pejabat MyCARE di Sri Kembangan pada Rabu. - Foto Astro AWANI
SERI KEMBANGAN: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan pihaknya terputus hubungan komunikasi dengan delegasi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) pada jam 10.03 pagi.


Ringkasan AI
  • MyCARE terputus komunikasi dengan delegasi misi FFC x TMTG pada jam 10.03 pagi sebelum sembilan kapal termasuk Sun Bird dan UMM Saad dipintas tentera Zionis Israel sekitar 10.50 pagi.
  • Sidang media khas di ibu pejabat MyCARE mengesahkan insiden pencerobohan berlaku kira-kira 120 batu nautika; keluarga peserta misi dipanggil hadir untuk kemas kini maklumat.
  • MyCARE yakin kerajaan akan bertindak memastikan keselamatan aktivis dan menyeru orang ramai terus berdoa serta mengekalkan solidariti dalam usaha kemanusiaan.


Presiden MyCARE Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustaha memaklumkan ini selepas kesemua sembilan kapal telah diceroboh tentera Zionis Israel ke atas semua bot berkenaan pada 10.50 pagi (waktu Malaysia).

“Kami mula terputus hubungan pada 10.03 minit. Kapal pertama Sun Bird di bawah Thousand Madleen to Gaza (TMTG) telah ditangkap dalam lingkungan titik 120 batu nautika diikuti lapan buah kapal yang lain termasuk Conscience manakala kapal terakhir yang dipintas ialah UMM Saad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di ibu pejabat MyCARE di Sri Kembangan pada Rabu.

Dalam pada itu, MyCARE terus mengikuti rapat perkembangan terkini melibatkan peserta misi kemanusiaan yang berada di atas sembilan kapal Conscience yang membawa aktivis misi kemanusiaan FFC x TMTG yang dipintas tentera Zionis Israel, hari ini.

Dr Kamal Nasharuddin turut memaklumkan keyakinan beliau terhadap usaha Kerajaan Malaysia dalam menangani situasi ini.

“Dengan harapan, insya-Allah kita akan keluar daripada situasi ini dengan sebaiknya. Saya percaya Perdana Menteri dan Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan semua peserta misi ini, dan agar mereka dapat dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” tambah beliau.

Dalam pada itu, pihak MyCARE juga telah memaklumkan serta memanggil kesemua ahli keluarga peserta untuk datang ke ibu pejabat MyCARE pada petang ini.

“Kemungkinan ahli keluarga yang akan datang ke sini, mempunyai tempat untuk kami kemas kini maklumat dari masa ke semasa.

“Kita akan bantu sebaik mungkin supaya ahli keluarga merasa selesa walaupun keadaannya sukar,” katanya.

MyCARE turut menyeru semua pihak untuk terus mendoakan keselamatan para aktivis dan mengekalkan solidariti dalam usaha kemanusiaan yang sedang dijalankan.

[TERKINI] Sidang media perkembangan misi Freedom Flotilla Coalition


Pelayaran FFC x TMTG merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas Kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Lapan delegasi Malaysia yang menaiki Kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCARE, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini membabitkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia.







#Freedom Flotilla Coalition #Thousand Madleens to Gaza #diceroboh Israel #MyCare #terkini #Global Sumud Flotilla