Skip to main content

Malaysia

Kapal MPMS dari Turkiye dijangka siap seawal 2028 - Saifuddin

PUTRAJAYA, 21 April -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaksikan pertukaran kontrak perolehan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman (dua, kiri) dan Pengerusi Desan Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu (dua, kanan) pada Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan sebuah Multi Purpose Mission Ship kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Bangunan Setia Perkasa hari ini.  Turut sama, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
Saifuddin (tengah) berkata perolehan aset strategik itu menjadi sebahagian daripada langkah memperkasa keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan maritim negara. -Gambar BERNAMA

PUTRAJAYA: Kapal Misi Pelbagai Guna (Multi Purpose Mission Ship, MPMS) kedua dari Turkiye dijangka siap dan diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada awal 2028.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perolehan aset strategik itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan maritim negara.

Advertisement

Beliau berkata, syarikat pembina Desan Shipyard komited melaksanakan projek berkenaan dalam tempoh 24 bulan bermula 1 Februari 2026, dengan tarikh siap ditetapkan pada 31 Januari 2028.

"Projek ini sudah pun melalui fasa 'steel cutting' dan kita mempunyai keyakinan tinggi terhadap keupayaan Desan untuk menyiapkannya mengikut jadual.

“Keyakinan ini berdasarkan kemajuan pembinaan MPMS pertama yang ketika ini menunjukkan perkembangan sangat baik, malah mendahului jadual ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan MPMS kedua untuk Maritim Malaysia di Kompleks Setia Perkasa, Selasa.

Kontrak berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman, bersama wakil Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu.

Saifuddin berkata, MPMS berkenaan dijangka menjadi mercu tanda kebanggaan negara apabila siap mengikut jadual dan berpotensi dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) akan datang.

Menurutnya, MPMS berperanan sebagai kapal induk yang dilengkapi keupayaan rondaan, pemantauan, penguatkuasaan, pencegahan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Kapal ini mampu berlayar lebih lama serta dilengkapi dek pendaratan helikopter, selain sistem radar dan komunikasi yang lebih canggih,” katanya.

Beliau berkata, keperluan memperkukuh aset maritim adalah penting memandangkan keluasan perairan negara mencecah kira-kira 590,000 kilometer persegi, selain berdepan ancaman pencerobohan kapal dan nelayan asing serta peningkatan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan.

"APMM memikul tanggungjawab besar dari pantai hingga 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif, termasuk laluan strategik seperti Selat Melaka yang penting kepada perdagangan dunia," katanya.

Perolehan MPMS kedua itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 pada 2025 dan dianugerahkan kepada Desan Shipyard yang berpangkalan di Istanbul dengan nilai AS$83.75 juta (RM331.36 juta).

 

Must Watch Video