Kapal tangki muatan diesel bernilai RM1.8 juta dirampas

Bernama
Mac 18, 2021 02:49 MYT
Kapal tangki ditahan kira-kira jam 2 petang Rabu kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. --fotoBERNAMA
LABUAN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan menahan sebuah kapal tangki dengan muatan 800,000 liter diesel bernilai RM1.8 juta di perairan Labuan semalam.
Ketua Penguatkuasanya Anual Kannari berkata ketika operasi bersama dengan polis marin Labuan, kapal tangki itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
"Kapal itu ditahan kira-kira 2 petang kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan diesel bersubsidi tanpa lesen," katanya kepada Bernama hari ini.
Anual berkata lapan kru berumur 20 hingga 45 tahun diambil keterangan untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#siasatan #polis #operasi #diesel #kapal tangki #subsidi #lesen #polis marin #Labuan