SHAH ALAM: Kapasiti jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini ditambah kepada 2,000 orang manakala bagi solat fardu lima waktu pula berjumlah 500 orang berkuat kuasa hari ini susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi satu hantaran di Facebooknya berkata ketetapan baharu itu turut membenarkan seramai 700 orang untuk solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya manakala 600 orang di Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang dan masjid daerah.

Zawawi berkata bagi masjid pengurusan, seramai 400 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat, 500 jemaah di masjid institusi, 350 jemaah di masjid kariah dan 250 jemaah di surau yang diberi kebenaran solat Jumaat.

Katanya, untuk surau kariah dan musolla, tiada jemaah dibenarkan melaksanakan solat Jumaat.

Bagi solat fardu lima waktu, seramai 300 jemaah dibenarkan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya; Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang; masjid daerah; masjid pengurusan dan masjid institusi.

"Bagi masjid kariah dan surau diberi kebenaran solat Jumaat, hanya 200 jemaah dibenarkan untuk solat fardu lima waktu dan 100 orang di surau kariah dan musolla," katanya menerusi hantaran itu.

Menurut Zawawi kesemua bilangan jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat dan solat fardu lima waktu itu adalah termasuk para pentadbir.

"Para pentadbir hendaklah terus mengambil langkah pencegahan dengan memberi peringatan berkala atau melalui penceramah agar jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pentadbir agar tidak membenarkan mana-mana pegawai masjid dan surau yang diberi kebenaran solat Jumaat serta pentadbir musolla (imam, bilal dan siak) yang belum mengambil suntikan vaksin untuk mengendalikan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu.

-- BERNAMA