GADGETS

Kapasiti storan minimum untuk peranti Android 15 dinaikkan ke 32GB

Amanz 17/04/2025 | 06:30 MYT
Google mengumumkan bahawa peranti Android 15 perlu mempunyai storan dalaman minimum 32GB, dengan 75% untuk aplikasi pengguna. -Amanz
JIKA anda tidak tahu, sebelum ini Google telah membenarkan pembuat peranti untuk menggunakan storan dalaman sebesar 16GB sahaja, cukup untuk menggerakkan sistem operasi Android, tetapi tidak lebih dari itu.


Ringkasan AI
  • Google mengumumkan bahawa peranti Android 15 perlu mempunyai storan dalaman minimum 32GB, dengan 75% untuk aplikasi pengguna.
  • Langkah ini bertujuan mengurangkan pengeluaran peranti murahan yang sukar digunakan kerana kekurangan ruangan storan.
  • Peranti Android 15 juga perlu menyokong nombor telefon kecemasan dan teknologi olahan grafik Vulkan 1.3.


Google baru-baru ini telah mengumumkan bahawa bermula dengan sistem operasi Android 15, jenama-jenama pembuat peranti perlu memuatkan peranti Android mereka dengan storan dalaman minimum 32GB, di mana 75 peratus daripada storan yang tidak digunakan oleh sistem operasi perlu diagihkan untuk aplikasi yang boleh dimuat turun oleh pengguna.

Perkara ini mungkin dilihat sebagai aneh, khususnya kerana kebanyakan peranti pintar hari ini hadir dengan storan sekurang-kurangnya 64GB ke 128GB, malah untuk aplikasi-aplikasi hari ini, 256GB juga boleh dianggap sebagai terlalu sedikit.

Akan tetapi, ini nampaknya adalah untuk mengurangkan pengeluaran “peranti-peranti murahan” di pasaran yang sukar untuk digunakan oleh mereka yang membelinya kerana ketiadaan ruangan mencukupi untuk aplikasi yang mahu digunakan.

Untuk peranti-peranti yang mahu menggerakkan sistem operasi Android 15, keperluan asas yang lain termasuklah kebolehan untuk peranti tersebut untuk berkongsi nombor telefon kecemasan dengan perkhidmatan kecemasan seperti polis, hospital, dan bomba, dan juga peranti-peranti pintar tersebut haruslah menyokong teknologi olahan grafik Vulkan 1.3 juga. -Amanz







#Google #Android 15 #32GB #Vulkan #storan dalaman minimum