MALAYSIA
Kapten kapal layar karam di Pulau Yu ditemui selamat

Ahmet Volkan Ata ditemui selamat oleh bot nelayan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Yu pada Khamis. - Gambar Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Seorang lagi mangsa tragedi kapal layar karam di perairan Pulau Yu berhampiran Pulau Redang ditemui selamat selepas lebih 43 jam dilaporkan hilang.
Mangsa dikenali sebagai Ahmet Volkan Ata, 52, merupakan kapten kapal layar Daisy yang karam dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa ditemui oleh sebuah bot nelayan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Yu sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Terengganu jam 9.45 malam pada Khamis.
"Mangsa dibawa ke Jeti PPM sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kini ditempatkan di Zon Kuning bagi rawatan lanjut."Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan luaran, namun pemeriksaan lanjut termasuk X-ray akan dilakukan bagi menilai keadaan dalaman kerana mangsa berada terlalu lama di dalam air," katanya.
Ahmet Volkan bertindak sebagai kapten bagi pelayaran mengelilingi benua dari Malaysia ke Turkiye bersama dua lagi rakannya.
Sebelum ini, seorang mangsa dikenali sebagai Ates Demiroren, 41, ditemui terapung oleh nelayan tempatan pada tengah hari Khamis dan kini masih dirawat di hospital sama.
Seorang lagi mangsa, Eser Demirkol, 52, masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) oleh pasukan penyelamat masih diteruskan.
Terdahulu, kapal layar Daisy memulakan pelayaran dari Pelabuhan Kuantan pada 28 Julai lalu sebagai sebahagian misi pelayaran merentas benua ke Istanbul, Turkiye dengan perhentian pertama dirancang di Pelabuhan Pattani, Thailand.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami