Kariah Surau Medan Idaman, Setapak di sini antara yang terkesan dengan kehilangan Allahyarham Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang ditembak mati, Sabtu lalu.

Salah seorang kariah, Abd Malik Razak berkata, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang memiliki keperibadian elok.

Katanya, Allahyarham juga seorang yang pendiam dan tidak pernah bercakap perkara tidak bermanfaat.

“Setiap malam kami akan mengaji satu juzuk dengan Allahyarham. Setiap kali itu jugalah kami akan ambil gambar dengan Allahyarham.

“Apabila saya tengok semula gambar Allahyarham, memang rasa sebak. Kariah di sini akan merindui Allahyarham,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah Allahyarham Dr Fadi di Surau Medan Idaman, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi Sabtu lalu, Fadi, 35 tahun ditembak mati ketika dalam perjalanan menuju ke surau tersebut untuk menunaikan solat Subuh.

Allahyarham merupakan imam kedua di surau itu yang terletak berhampiran kediamannya.

Sementara itu, bekas bilal Surau Medan Idaman, Abd Ghani Jalil berkata, kariah di sini tidak pernah menganggap Allahyarham sebagai orang luar.

“Kami rasa kehilangan kerana Allahyarham orang yang baik. Susah nak cari orang macam dia,” katanya.