CYBERJAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara, hari ini mengumumkan kembalinya Karnival #MyDigitalMaker 2021.

Penganjuran tahun kedua menerusi platform maya, karnival tahunan ini dijadualkan pada 11 Oktober hingga 21 November 2021.

Karnival berkenaan akan merangkumi lima siri dengan setiap siri dianjurkan di lokasi berlainan iaitu di Perak, Kedah, Sabah, wilayah Pantai Timur, wilayah Tengah dan wilayah Selatan.

Setiap siri direka untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman interaktif menerusi pelbagai program menarik seperti kesedaran haluan kerjaya, bengkel penghasilan digital kepada guru dan pelajar, kandungan pembelajaran kendiri, persaingan, webinar dan pameran.

Karnival digital berkenaan merupakan acara utama Gerakan #mydigitalmaker MDEC. Ia dicipta untuk menyediakan peluang pengalaman dan juga menginspirasikan generasi masa depan untuk memilih kerjaya dalam teknologi digital, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

"Kita mesti mempersiapkan masa depan anak-anak kita dengan kemahiran yang akan membantu mereka lebih berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang berkembang pantas. Inisiatif seperti Gerakan #mydigitalmaker MDEC, menyasarkan untuk memainkan peranan penting dalam mentransformasikan Keluarga Malaysia ke arah cerdik digital, untuk mencapai matlamat MyDIGITAL dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Inisiatif bersama antara sektor awam, swasta dan akademik, Gerakan #mydigitalmaker telah dilancarkan pada Ogos 2016 dengan matlamat untuk mewujudkan negara pembuat digital dengan mentransformasikan belia Malaysia daripada pengguna digital kepada pengeluar digital. Ini ialah misi yang ditubuhkan untuk menangani keperluan generasi masa depan yang lebih berdaya saing.

Ia melibatkan program strategik yang akan membantu memperkukuh kemahiran digital dalam kalangan belia seperti pengekodan, pembangunan aplikasi, cetakan 3D, robotik, sistem embedded dan analisis data.

"Gerakan #mydigitalmaker ialah program penting dalam memupuk kesedaran terhadap semua perkara berkaitan digital dan melengkapkan pengeluar dan peneraju digital generasi masa hadapan bukan sahaja dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, tetapi pemikiran yang mengutamakan digital.

"RMK-12 telah meletakkan digital sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan MDEC akan terus memacu ekonomi digital ke hadapan, selaras dengan visi Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Setakat ini, lebih 2.2 juta kanak-kanak telah menerima manfaat daripada inisiatif menerusi integrasi pemikiran berasaskan komputer (computational) dan pengekodan ke dalam kurikulum sekolah nasional, aktiviti ko-kurikulum yang dijalankan di sekolah dan juga aktiviti kurikulum tambahan yang dijalankan di lebuh 60 Hab Pembuatan Digital serta oleh rakan kongsi ekosistem #mydigitalmaker.

Bagi menyediakan lebih banyak kandungan tempatan di peringkat akar umbi, karnival maya tahun ini dianjurkan secara bersama dengan lima rakan kongsi strategik - Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jazari Robot Resources, Kerajaan Negeri Kedah menerusi Pusat Digital Kedah, iTrain Kids Sdn Bhd dan Petrosains Sdn Bhd.

Karnival maya berkenaan akan bermula dengan sesi di Perak yang akan dikembangkan ke Pulau Pinang, pada 11 hingga 15 Oktober 2021. Peserta berpeluang untuk menyertai sesi bengkel dan perkongsian oleh Digital Perak Corporation Holdings, Universiti Teknologi Petronas, Persatuan STEM Nasional (Perak) dan Asia Drone IoT Technologies.

Setiap karnival akan berlangsung selama seminggu untuk memberi masa yang cukup kepada komuniti tempatan untuk akses kepada lebih 100 bengkel, webinar dan tutorial yang dianjurkan untuk pelajar dan guru. Pelbagai hadiah dan cenderahati menanti para peserta yang menyertainya.

Dari 17 Oktober hingga 22 Oktober, karnival akan dianjurkan oleh Jazari Robot Resources yang fokus kepada kawasan Pantai Timur dan akan menyediakan pelbagai sesi yang antaranya akan melibatkan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kolej Universiti TATI, Persatuan STEM Nasional (Terengganu), Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan CyberSecurity Malaysia.

Secara keseluruhan, Karnival #MyDigitalMaker 2021 akan menawarkan kandungan eksklusif daripada penggiat teknologi dan komunikasi seperti TikTok Malaysia, IBM Malaysia, PlayStation Studios Malaysia, Digi Telecommunications dan Maxis, serta organisasi bukan berasaskan keuntungan dari dalam dan luar negara seperti UNICEF Malaysia dan Code.org.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MDEC kerana menjemput saya untuk menyertai Karnival #MyDigitalMaker tahun ini. Merupakan satu penghormatan kepada Code.org untuk bekerjasama dengan pasukan MDEC sejak beberapa tahun lalu, sebagai Rakan Kongsi Antarabangsa Code.org yang rasmi,” kataKetua Pegawai Eksekutif Code.org, Hadi Partovi.

Sempena dengan karnival ini, TikTok Malaysia telah menyokong usaha untuk memupuk minat ke arah teknologi digital kepada pelajar sekolah dan guru dengan melancarkan kempen kesedaran #BelajarDigital.

Sejak ditubuhkan pada 2017, acara utama seperi Gerakan #mydigitalmaker telah memberi kesedaran inovasi dan kreativiti digital kepada lebih 82,000 peserta.

Untuk maklumat lanjut mengenai Gerakan #mydigitalmaker, sila layari https://mdec.my/mydigitalmaker/ atau ikuti kami di Facebook https://www.facebook.com/mydigitalmakermovement untuk maklumat terkini.