Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Kartel dadah didedahkan PM dalam radar PDRM

Sinar Harian 16/11/2025 | 09:52 MYT
Hussein Omar berkata JSJN mempunyai maklumat berkaitan kartel terbabit dan sudah berada dalam radar PDRM. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi menumpaskan kartel dadah.


Ringkasan AI
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bekerjasama rapat untuk menumpaskan kartel dadah yang masih aktif.
  • Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan bahawa JSJN dan agensi lain sedang menjalankan operasi untuk membanteras penyeludupan dadah melalui penggunaan kontena.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan kewujudan kartel besar yang menyeludup dadah ke negara sejak 20 tahun lalu, dan menekankan keperluan tindakan serta kerjasama agensi untuk menangani isu ini.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kartel terbabit dalam radar pihaknya.

"JSJN mempunyai maklumat berkaitan kartel ini dan sudah berada dalam radar PDRM.

"Operasi juga sudah dijalankan dan ada yang dalam tindakan bagi membanteras penyeludupan dadah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau, penyeludupan dadah menggunakan kontena ini merupakan kaedah lama namun masih digunakan sindiket sehingga kini.

Jelasnya, JSJN bekerjasama dengan agensi dalaman seperti JDKM, AKPS serta pihak berkuasa pelabuhan selain kerjasama antarabangsa dengan penguat kuasa negara lain.

“JSJN juga menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Australia dari segi membekalkan hasil siasatan termasuk berkongsi laporan forensik malah pihak berkuasa Australia juga akan akan menuduh seorang suspek di sana,” ujarnya.

Pada Ahad, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi sarapan dan sembang santai bersama media Sabah di Kota Kinabalu mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar menyeludup masuk dadah ke negara ini yang didengarinya sejak 20 tahun lalu dan tidak ada tindakan.

Anwar turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu.

Anwar menegaskan beliau tidak bertolak ansur mengenai perkara itu dan memaklumkan turut menemui ketua-ketua agensi setiap minggu dan bertemu dengan selama satu jam.

Beliau juga memaklumkan bahawa wujud sindiket dan ahli politik yang terbabit dalam kegiatan berkenaan. -- Sinar Harian







#kartel dadah #Anwar Ibrahim #PDRM #Hussein Omar Khan