Kartel daging: Polis kesan 7 lagi suspek

Siti Nur Aqilla Omar
April 11, 2021 11:31 MYT
Siasatan mendapati, Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, Johor manakala Ah Kheong dari Kuantan, Pahang. - PDRM
JOHOR BAHRU: Polis masih mengesan tujuh suspek kes kartel daging sejuk beku selepas 36 individu terdiri daripada pengarah dan pengurus syarikat ditahan dalam Op Kartel Daging 9 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata dua lelaki turut dikesan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, kedua-dua mereka ialah Tan Siew Huak, 42, dan Wong Ah Kheong, 44.
"Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, Johor manakala Ah Kheong dari Kuantan, Pahang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
BACA: 36 pengarah, pengurus 20 syarikat kes kartel daging import ditahan
BACA: Kartel daging: Kertas siasatan diserah kepada Pejabat Peguam Negara dua minggu lepas - SPRM Johor
Sidang media khas tangkapan kartel daging
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki itu diminta segera menghubungi polis.
Terdahulu, pada sidang media sama, Huzir berkata seramai 36 individu membabitkan pengarah dan pengurus syarikat ditahan dalam operasi khas di lima negeri selain Kuala Lumpur kerana dipercayai terbabit dalam sindiket kartel daging import.
Beliau berkata semua mereka adalah daripada 20 syarikat yang dikenal pasti terbabit berkomplot dalam kegiatan pengedaran daging berkenaan.
Katanya, sebuah syarikat dikenal pasti sebagai pengimport manakala 19 lagi adalah pengedar daging sejuk beku import.
#kartel daging #daging import #Brazil #Halal #pengedar #sejuk beku #Bukit Aman #polis johor #sindiket #pengimport #ditahan #maqis